11 Januari 2009

Hakikat Tasauf-Bab 1.(Sejarah Perkembangan Tasauf. i )

 

Hakikat Tasauf Dr Ahmad Alwasy berkata,'Banyak dikalangan bertanya-tanya mengapa dakwah kepada tasauf tidak berkembang di awal era islam,dan baru muncul setelah era sahabat dan tabiin.Jawapanya ialah,pada awal islam dakwah kepada tasauf belum diperlukan sebab pada era itu semua orang adalah ahli takwa,ahli wara,dan ahli ibadah,berdasarkan panggilan fitrah mereka dan hampirnya mereka kepada Rasulullah saw.Mereka semua berlumba-lumba untuk mengikuti dan meneladani Rasul pada setiap aspek.Oleh kerana itu mereka tidak memerlukan ilmu yang membimbing mereka kepada sesuatu yang benar-benar telah mereka kerjakan.

Kedudukan mereka ibarat Orang Arab yang mengetahui bahasa Arab melalui generasi yang awal dari mereka.Mereka dapat mencipta syair yang fasih tanpa sedikit pun memiliki pengetahuan tentang tatabahasa  Arab dan ilmu mencipta syair.Orang seperti ini tidak harus mempelajari ilmu nahu dan balaghah.Ilmu tersebut hanya perlu dipelajari oleh orang yang banyak melakukan kesalahan berbahasa dan lemah dalam menyusun kalimat,atau bagi orang yang bukan Arab yang hendak memahami dan mengetahui bahasa Arab,atau pada saat ilmu tersebut menjadi keperluan masyarakat sebagaimana keperluan mereka kepada ilmu-ilmu lainnya.

Meskipun para sahabat dan tabiin tidak menggunakan kata tasauf,akan tetapi secara praktisnya mereka adalah para sufi yang mengamalkan tasauf.Yang dimaksudkan dengan tasauf tidak lain adalah sesorang yang hidupnya hanya kerana Allah swt,bukan untuk dirinya semata-mata.

Dia menghiasi dirinya dengan Zuhud,tekun melaksanakan ibadah, berkomunikasi dengan Allah dengan roh dan jiwanya di setiap waktu dan berusaha mencapai berbagai kesempurnaan ,sebagaimana yang telah dicapai oleh para sahabat dan tabiin yang telah sampai keperingkat kerohanian yang paling tinggi.

Para sahabat bukan hanya mengikrarkan iman dan menjalakan kewajipan-kewajipan.Akan tetapi,mereka menyertai ikrar iman tersebut dengan perasaan menambah kewjipan dengan amalan sunnah dan menghindari dari yang makruh di samping yang haram, sehingga mata hati mereka bersinar,butiran-butiran hikmah terpancar dari nurani mereka dan rahsia-rahsia ketuhanan melimpah dalam jiwa mereka. Begitulah kedudukan para tabiin dan pengikut tabiin.

Ketiga masa tersebut adalah masa keemasan dan sebaik-baik masa dalam islam.Nabi s.a.w. bersabda,

sebaik-baik masa adalah masaku ini,lalu masa sesudahnya,lalu masa sesudahnya,’ (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Setelah era itu,bermacam-macam bangsa telah memeluk islam. Bidang ilmu pengetahuan juga semakin meluas dan terbagi-bagi diantara para pakar.Setiap kelompok berusaha memperjelaskan ilmu yang mereka ada dan kuasai.Setelah terjelas ilmu nahu di awal era islam,munculah ilmu fikih,ilmu tauhid,ilmu hadis,ilmu usul fikh, ilmu faraid,dan ilmu-ilmu lainnya.

Setelah fasa ini,pengaruh kerohanian islam sedikit demi sedikit menjadi lemah.Manusia mula lupa akan pentingnya bertaqarub kepada Allah melalui ibadah  yang dibuat secara tekun dan istiqamah.

Hal inilah yang mendorong ahli-ahli zuhud untuk memperjelaskan ilmu tasauf,serta menerangkan kemuliaan dan keutaman dari ilmu-ilmu yang lainya.Para Zahid tidak melakukan itu sebagai reaksi atas apa yang dilakukan oleh dikalangan para ulama lain terhadap ilmu-ilmu mereka,sebagaimana diandaikan oleh sebahagian orientalis barat.

Namun mereka melakukan itu untuk menutupi kekurangan dan menyempurnakan agama dari segala aspeknya.Dan hal tersebut adalah satu keharusan demi terwujudnya sikap saling tolong menolong dalam perkara kebajikan dan ketakwaan.

Dari Kitab Hakikat Tasauf(Syaikh Abdul Qadir Isa)

Tiada ulasan: